SELANGORSUKANKINI

EXCO pastikan prestasi pemain badminton pada tahap terbaik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 DIS: Satu pertemuan khas antara Mohd Khairudddin Othman bersama juara Liga Remaja AirAsia-BAM 2018 akan diadakan dalam masa terdekat, bagi memastikan pemain mengekalkan prestasi pada tahap terbaik.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, Kerajaan Negeri juga akan memantau keperluan pasukan berkenaan dan mengambil segala langkah untuk membantu pemain.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan Kerajaan Negeri berasa amat bangga dengan kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini SelangorKini melaporkan, pasukan badminton Selangor muncul juara kategori lelaki dan wanita, pada Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM 2018 di Stadium Juara Bukit Kiara.

Ketua jurulatihnya, Danan Jaya berkata, beliau menjangkakan perlawanan sengit akan berlaku khususnya bagi kategori lelaki.

“Baik lelaki dan wanita, saya mengingatkan pemain supaya tidak memandang mudah lawan, sebaliknya perlu sentiasa fokus dan akhirnya kami berjaya mengulangi pencapaian tahun lalu dengan menjadi juara kedua-dua kategori,” katanya.

Semua pemain daripada pasukan juara akan diberi peluang menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum diserapkan ke skuad pelapis negara.

Juara bagi setiap kategori menerima hadiah RM20,000, naib juara (RM15,000), ketiga (RM10,000) dan keempat (RM5,000).


Pengarang :