SELANGORSUKANKINI

FAS-UiTM meterai MoU kongsi kepakaran bangun bola sepak

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 14 DIS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membentuk jaringan kerjasama dan perkongsian kepakaran dari aspek pembangunan bola sepak.

Presiden FAS, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bertitah, pihaknya percaya perkongsian terjalin itu adalah langkah pertama dalam merealisasikan visi dan misi pasukan Selangor menjadi lebih baik dan berjaya secara keseluruhannya.

“MoU antara FAS dan UiTM adalah sebagai perkongsian saling menguntungkan di mana FAS akan meningkatkan prestasi dan pembangunan pemain manakala UiTM dapat menyalurkan ilmu kepakaran serta menyediakan data maklumat boleh digunakan untuk penyelidikan, penerbitan dan tujuan pemasaran.

“Antara bidang kerjasama dikenal pasti bagi pembangunan pemain termasuk pemulihan, pemakanan, psikologi sukan, analisis prestasi dan sebagai di mana kerjasama berterusan ini akan membentuk asas bagi membolehkan FAS berdaya saing di peringkat serantau,” titahnya dalam Majlis Menandatangani MoU antara FAS dan UiTM di Anjung Seri Budiman, UiTM di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Dato’ Dr Hassan Said berkata, kerjasama strategik antara universiti dan persatuan sukan seperti itu adalah amalan biasa dilakukan di luar negara dalam usaha meningkatkan kualiti pembangunan bola sepak menerusi perkongsian kepakaran sedia ada.

Katanya, ia adalah komitmen UiTM untuk bekerjasama dengan FAS bagi berkongsi kepakaran demi kebaikan bersama.

“Menerusi pembabitan antara Pusat Sukan bersama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM dilihat mampu membantu FAS untuk kembali menjadi gergasi bola sepak negara.

“Melalui program penempatan pelajar dan kakitangan akan menjadi sebagai lokasi untuk kajian akademik dan digunakan dalam aktiviti pembelajaran, pemasaran juga penerbitan UiTM serta FAS demi pembangunan sukan bola sepak,” katanya.


Pengarang :