SELANGORSUKANKINI

FAS yakin MoU bersama UiTM jadi pemangkin kejayaan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 DIS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) optimis Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menyaksikan perkembangan positif terhadap pembangunan bola sepak Selangor.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, hasil kerjasama erat antara kedua pihak maka perancangan secara tersusun dapat dilaksanakan bagi mencapai visi dan misi ditetapkan.

“Melalui MoU ini, kita boleh berkongsi kepakaran dan kelebihan dimiliki UiTM terutama sains sukan di mana ia salah satu aspek dipentingkan dalam pembangunan bola sepak Selangor.

“Apabila ia dilakukan secara konsisten maka kita dapat melihat perubahan secara positif terhadap perkembangan pasukan termasuk prestasi pemain dan sebagainya,” katanya.

Majlis menandatangani MoU antara FAS dan UiTM di Anjung Seri Budiman UiTM di sini, dimeterai semalam dengan disaksikan Presiden FAS, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dr Johan berkata, sains sukan terbukti antara aspek terpenting bagi mencipta kejayaan dalam bidang sukan dan di peringkat antarabangsa ia diguna pakai secara meluas bagi tujuan itu.

“Aspek ini kurang dipentingkan di Malaysia dan kita melihat UiTM mempunyai kepakaran dalam aspek ini yang boleh membantu FAS bagi memajukan pasukan supaya lebih berjaya pada masa depan,” katanya.


Pengarang :