SELANGOR

GROW lahir usahawan siswazah berjaya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 DIS : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis Program Usahawan Siswazah (GROW) mampu membangun siswazah dengan ilmu keusahawanan dan berpotensi sebagai usahawan berjaya.

Ketua Pegawai Korporatnya, Siti Zubaidah Abd Jabar berkata, program itu bertujuan membiimbing siswazah daripada pelbagai aspek dalam keusahawanan.

“GROW dilaksana untuk membangun siswazah berpotensi menjadi usahawan di mana mereka akan dibimbing daripada segi perancangan perniagaan, mengurus kewangan, kaedah pemasaran dan pemantauan sasaran jualan secara mingguan sehingga tamat program.

“PKNS komited menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda yang berpengetahuan dalam asas perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Graduasi GROW, di sini, semalam.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail menyampaikan sijil kepada 27 peserta GROW yang menamatkan kursus dari April hingga September lalu.

Siti Zubaidah berkata, mereka juga terdiri dalam kalangan 303 peserta lain yang turut menyertai GROW atau sebelum ini dikenali Program Pembangunan Usahawan Siswazah (PHASER) PKNS sejak mula diperkenalkan pada 2006.

Katanya, lebih membanggakan apabila jumlah jualan berjaya diraih semua peserta GROW 2018 sejak April hingga September lalu adalah sebanyak RM1.81 juta manakala rekod jualan keseluruhan peserta sejak 2006 adalah RM19 juta.

“Syabas dan tahniah di atas kerja keras setiap peserta sehingga berjaya berada pada tahap ini dan semoga ia terus meningkat pada masa akan datang.

“Saya berharap program ini mampu mengekalkan pembentukan diri positif dalam kalangan peserta untuk mengemudi perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, PKNS berharap peserta meneruskan kerjaya sebagai usahawan berbekalkan ilmu ditimba sepanjang menyertai program berkenaab.

“Tidak mustahil, hasil pendapatan keseluruhan peserta GROW, mungkin menjadi pendapatan syarikat dalam masa hanya satu tahun sekiranya berani membuat inovasi, sentiasa mencari ruang penambahbaikan dan berusaha luar daripada kebiasaan,” katanya.

 


Pengarang :