SELANGOR

Guna peluang ‘Work From Home’ jana pendapatan sampingan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Penerima Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang bakal terpilih menyertai program ‘Work From Home (WFH)’ perlu menggunakan peluang keemasan itu untuk menjana lebih pendapatan sampingan keluarga.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, pelaksanaan program ‘empowerment’ golongan wanita yang dijangka bermula pada tahun hadapan itu, mampu melatih mereka berdikari untuk mencari sumber kewangan sendiri.

“Apabila mereka menjalankan sesuatu pekerjaan dari rumah, ia bergantung sepenuhnya kepada usaha seseorang itu, kalau rajin maka mereka akan memperoleh lebih daripada itu.

“Yang penting, kerja keras untuk mendapatkan pulangan hasil yang baik,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kecergasan ‘Jom Sihat’ yang bertemakan Wanita Ceria, Rumahtangga Bahagia’, di Dewan Melawati Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Masdiana yang juga isteri Dato’ Menteri Besar berkata, program terbabit turut menyediakan platform pemasaran khususnya kepada penerima KISS untuk mengembangkan lagi bidang pekerjaan mereka.

Katanya, kemungkinan terdapat syarikat menawarkan peluang pekerjaan hasil daripada kemahiran dan nilai tambah dimiliki oleh golongan wanita terbabit.

“Jika dilihat, kerja jahitan manik misalnya, walaupun pendapatan agak sedikit pada peringkat permulaan, tetapi tidak mustahil lama-kelamaan mereka boleh membuka butik sendiri.

“Kita tidak tahu rezeki pada masa akan datang, sebab itu saya berharap supaya usaha dan kerja keras mereka ini sentiasa berterusan serta jangan sesekali cepat berputus asa,” katanya.

Terdahulu, menerusi belanjawan Selangor 2019, program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) akan diteruskan ekoran sambutan luar biasa di kalangan rakyat di negara ini khasnya Selangor yang memberi manfaat kepada 40,000 ibu.

Justeru, bagi mengorak langkah ke arah Pemberian ke Pemberdayaan (From Gift To Empowerment), penerima KISS terpilih menyertai program WFH.

Pembabitan proaktif 56 Pusat Wanita Berdaya di seluruh Selangor turut sama dizahirkan dalam mengenal pasti penerima KISS berpotensi untuk menjadi peserta program berkenaan.


Pengarang :