SASTERASELANGOR

‘Hikayat Di Sebalik Gunung’ terjemah watak baik dan jahat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 DIS: Dalam kehidupan ada baik ada jahat, ada mangsa ada pemangsa, ada betul ada salah, ada positif dan ada negatif.

Dinamakan sebagai ‘Hikayat di Sebalik Gunung’, kreativiti seni dan ekspresi pelukis Mohd Yusof Marsidin menjadi tumpuan apabila layak menerima Anugerah Insentif pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2018, kali ini.

Mohd Yusof berkata, karya itu merupakan penceritaan atau kisah tentang manusia menjalani kehidupan di alam yang penuh pancaroba.

Menggunakan medium campuran, bersaiz 139 sentimeter (sm) x 123 sm, katanya, ia diadaptasi daripada melihat pelbagai urusan dan tanggungjawab manusia dilaksanakan dalam memenuhi keperluan serta keinginan menjayakan kepentingan masing-masing.

“Gunung atau biasa disebut gunungan atau pohon beringin merupakan gambaran tentang pentas dunia atau alam dan aktiviti kehidupan manusia.

“Dalam apa jua bentuk kehidupan ada pro dan kontra, ada baik ada jahat, ada mangsa ada pemangsa, ada betul ada salah, ada positif dan ada negatif,” katanya ketika ditemui.

Mohd Yusof berkata, penggunaan wayang kulit sekadar gambaran tentang watak atau karakter manusia.

Secara umum, katanya, ia dilihat dari postur tubuh, ekspresi atau posisi wajah, warna raut muka, mata, hidung, bibir dan sebagainya.

“Ada berkarakter halus budi pekertinya, santun tutur katanya, tentu ada juga yang sebaliknya, seperti pemarah, bengis, keji, egois, ada juga berkarekter baik dan jahat.

“Watak baik berhidung mancung tunduk serta kelihatan sopan dikenali sebagai protagonist iaitu wira atau hero, manakala yang berwatak jahat dilihat dengan hidung yang besar bermuka bengis dikenali sebagai antagonis iaitu penentang,” katanya.

Namun, antagonis tidak semestinya berterusan jahat tetapi bersikap membantah dalam setiap tindakan protagonist yang tidak menyebelahinya.

Beliau berkata, karya berkenaan dizahirkan menerusi dua watak utama iaitu Sandewa atau Arjuna yang mewakili watak baik.

Manakala, Durmuka atau Kurawa mewakili watak jahat.

Karya berkenaan merupakan antara daripada 83 karya yang terpilih dipamerkan di Pameran Terbuka itu bermula sehingga 21 Februari tahun hadapan.

Lima pengkarya menerima Anugerah Insentif berjumlah RM2,500 sebagai galakan dan insentif dalam menghasilkan karya terbaru serta bermutu tinggi.


Pengarang :