NASIONAL

Ikuti perkembangan Parlimen melalui Apps Parlimen Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Orang awam boleh mengikuti perkembangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan lebih mudah dan pantas menerusi aplikasi Parlimen Malaysia.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkata, aplikasi itu boleh diperolehi dengan memuat turun di ‘Play Store’.

“Aplikasi mengandungi perkara penting berlaku di Parlimen khasnya program yang dibuka kepada pihak luar ini setaraf dengan parlimen negara maju lain.

“Aplikasi ini bukan sahaja melibatkan program sahaja tetapi termasuk aturan mesyuarat, hansard, yang boleh diakses terus Ahli Yang Berhormat atau sesiapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Reformasi Parlimen Anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Parlimen Malaysia di Bangunan Sementara Parlimen di sini, hari ini.

Roosme berharap Ahli Parlimen memberikan sokongan kepada usaha Parlimen Malaysia membuka maklumat kepada orang awam dengan seluas-luasnya.

Mengulas perkembangan sama, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, aplikasi pertama ini turut mengandungi soalan yang ditanyakan di Parlimen, kertas kerja dibentangkan, kenyataan media dan lain-lain.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak yang membangunkan apps ini, sekarang dah bertaraf dunia,” katanya.

Mohamad Arif berkata, antara negara lain yang mewujudkan aplikasi sama seperti Australia, Singapura dan beberapa negara maju lain.


Pengarang :