SELANGOR

Ilmu pendidikan elak anak Rohingya terjerumus aktiviti negatif

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 30 DIS : Ilmu pendidikan diantara aspek yang membantu anak pelarian Rohingya daripada terjerumus melakukan aktiviti negatif.

Pengurus Besar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim), Mohd Hakim Mohd Nor berkata, ketiadaan pendidikan yang baik buat kumpulan pelarian itu hanya menyebabkan anak-anak Rohingya kekurangan ilmu sekali gus tidak dapat menyesuaikan diri dalam kalangan masyarakat setempat.

“Selain itu, kumpulan pelarian ini juga sukar mendapat peluang pekerjaan, disebabkan itu kami amat bimbang apabila ketiadaan ilmu serta pekerjaan ini akan menyebabkan mereka melakukan aktiviti tidak sihat.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka mendapat peluang pendidikan lebih baik, sekali gus ia akan membolehkan masyarakat kita tidak bimbang dengan kewujudkan kumpulan Rohingya ini,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Program ‘Back To School’ bersama Mydin dengan kerjasama Serantau Muslim di Mydin Mall, di sini, hari ini.

Program yang turut mendapat kerjasama Islamic Mission Welfare Organisation (UKIM) itu turut dihadiri Pegawai Tugas Khas, Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Muhammad Azrin Omar.

Mohd Hakim berkata, pada program berkenaan pihaknya membawa hampir 19 kanak-kanak Rohingya membeli barangan persekolahan termasuk baju dan alat tulis.

Katanya, bantuan yang disalurkan setiap tahun itu bukan bersifat bantuan semata-mata, sebaliknya Serantau Muslim turut memantau perkembangan tahap pembelajaran kanak-kanak terbabit.

“Oleh sebab itulah kita telahpun berjaya menghantar seorang anak Rohingya menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat, dan usaha ini akan diteruskan demi membantu masyarakat Islam yang tertindas itu,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah melayari laman web untukmurohingya.com, bantuankecemasan.com dan waqaf.my.


Pengarang :