PENDIDIKANSELANGOR

INPENS terima sumbangan dua kereta Myvi bagi tujuan pembelajaran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 DIS: Kolej Antarabangsa INPENS (IIC) Kuala Selangor menerima sumbangan dua kenderaan model Myvi daripada syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bagi tujuan latihan dan penyelidikan, di institusi teknologi automotif itu.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, INPENS adalah antara 25 institusi kemahiran di Malaysia yang terpilih menerima sumbangan berkenaan bagi memantapkan kemahiran pelajar dalam perindustrian automobil.

“Melalui sumbangan ini, INPENS mampu menambah baik dan memantapkan pembelajaran lebih efektif kepada pelajar, khususnya dalam sektor teknologi automotif sejajar keperluan dan permintaan tenaga mahir, di Malaysia.

“Justeru, saya menyarankan kepada pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya mengambil peluang untuk mendaftar di INPENS untuk menimba ilmu kemahiran di sini kerana pengambilan akan dibuka, pada Januari depan,” katanya.

Sumbangan itu disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Dato’ Aminar Rasyid Salleh pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kenderaan Perodua 2018, di sini, baru-baru ini.

Terdahulu, jalinan kerjasama PERODUA dilihat mampu membantu INPENS untuk terus tuntas memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Vokasional (TVET), sekali gus meningkatan kualiti kemahiran tenaga mahir, di Selangor.

Pelbagai program dijalankan kedua pihak terbabit termasuk bengkel Total Productive Maintenance Workshop (TPM) sebagai satu sistem atau kaedah yang diguna pakai bagi memelihara dan meningkatkan kualiti produk.

Ahmad Zabri berkata, perkongsian ilmu dalam kaedah pencegahan, penambahbaikan kelengkapan peralatan mesin dan jentera juga didedahkan dalam bengkel itu yang secara langsung memberi pengalaman baharu.

Katanya, matlamat utama bengkel itu adalah untuk mengelakkan risiko kerugian besar kepada syarikat akibat tidak memahami prosedur pengendalian mesin dan jentera yang betul.


Pengarang :