SELANGOR

Invest Selangor komited rangka program depani IR4.0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) komited merangka beberapa program dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi membuka peluang pekerjaan kepada belia.

Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, pelbagai program awalan telah dilaksanakan sebelum ini membabitkan IR4.0.

“Invest Selangor adalah sebahagian daripada IR4.0 diorganisasikan Pusat Pembangunan Tenaga Manusia Selangor (SHRDC), di mana ia menyediakan platform untuk industri dan syarikat IKS, pihak kerajaan serta akademik.

“Ia bertujuan mengadakan sesi dialog berhubung hala tuju, strategi dan cabaran akan dihadapi semua pihak berkenaan IR4.0 pada masa depan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika membentangkan sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang, Dato’ Ahmad Yunus Hairi di Dewan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Katanya, sebelum ini Kerajaan Negeri pernah melaksanakan pelbagai program berkaitan IR4.0 antaranya “Bavaria Industry 4.0 Workshop” yang diadakan di Istana Selangor dan “Malaysian Smart Factory 4.0”.

“Bagi memastikan institusi pendidikan bersedia mengharungi revolusi ini, Invest Selangor turut menghubungkan kerjasama antara Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Malaya.

“Pada masa sama, Invest Selangor juga mengadakan sesi dialog antara syarikat IKS yang mempunyai potensi seperti DreamEdge dan Robopreneur dengan universiti berkaitan,” katanya.

IR4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baru seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan ‘big data’, simulasi, integrasi sistem, penggunaan ‘robotic and cloud’ yang bakal merancakkan lagi kemajuan landskap dunia moden dan teknologi.


Pengarang :