SELANGOR

IPR masih diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Pensejajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) hanya membabitkan beberapa agenda sahaja, manakala selebihnya masih diteruskan seperti biasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pensejajaran berkenaan juga membabitkan penambahbaikan program antaranya Kasih Ibu Smart Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa strategi bagi memastikan ia diberdayakan dari program pemberian kepada pemerkasaan untuk memastikknya lestari dan tidak membebankan pentadbiran akan datang.

“Sebagai Dato’ Menteri Besar, saya bertanggungjawab memastikan ekonomi negeri ini terus kekal seimbang kerana tidak guna bermewah jika akan datang menanggung beban.

“Seperti dalam penggulungan Belanjawan Negeri minggu lalu, setiap golongan sentiasa diberi perhatian, namun fokusnya sedikit berbeza.

“Untuk B40, kita memberi suntikan bagi mengurangkan bebanan kewangan, manakala M40 pula kita mempertingkatkan kemampuan sama ada kemahiran, modal perniagaan mahupun pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul peruntukan pembangunan Belanjawan 2019, pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada masa sama, Amirudin berkata, program Skim Mesra Usia Emas masih diteruskan melalui peruntukan RM19 juta, namun terdapat kajian untuk menghubungkannya dengan program baharu, iaitu pusat warga emas.

Katanya, Kerajaan Negeri kini di peringkat penyediaan kertas cadangan dan kos untuk mewujudkan program khas, di pusat itu.

“Begitu juga dengan KISS, kita tidak potong tetapi tambah baik dengan memberi tambah nilai melalui program pemberdayaan keusahawanan dan kemahiran serta memberdayakan Pusat Wanita Berdaya supaya keluar dari kelompok kemiskinan dalam tempoh tertentu.

“Manakala bagi program TAWAS pula, kita memikirkan perlunya satu sistem yang menjana pelaburan supaya kita boleh menanggung pemberian RM1,500 kepada anak Selangor yang berdaftar.

“Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad untuk melihat bagaimana kita dapat melaksanakan pelaburan itu,” katanya.


Pengarang :