SELANGOR

Isu Kuil Seafield: Kerajaan Negeri setuju dengan Peguam Negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Selangor menyambut baik kenyataan Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri turut bersetuju dengan penyelesaian dicadangkan Peguam Negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.

“Merujuk kepada Kenyataan Media oleh Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield pada 14 Disember, semalam, Kerajaan Selangor menyambut baik kenyataan Peguam Negara berkenaan isu Kuil Seafield.

“Justeru, Kerajaan Selangor berpandangan bahawa tapak tanah 0.4 hektar (1 ekar) dan wang pampasan berjumlah RM1.5 juta yang diberikan oleh pemaju haruslah dipulangkan semula.

“Ia sebagai sebahagian daripada penyelesaian yang dicadangkan oleh Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, isu kuil Seafield yang menimbulkan rusuhan bulan lalu, mencapai persetujuan baharu bersama peguam pihak terbabit yang merangkumi hak milik tanah dan pengurusan amanah.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, ia menyaksikan penyelesaian antara pemaju One City Development Sdn Bhd, akan memindah hakmilik tanah, yang sekarang diduduki kuil itu secara tidak sah, kepada satu amanah yang akan ditadbir Mahkamah Tinggi.

Katanya, pemindahan itu ‘tertakluk kepada terma yang akan dipersetujui’.

Terdahulu, Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya perlu dipindahkan apabila mendapat persetujuan penghakiman dan pihak pemaju akan menyediakan tanah untuk sebuah kuil baharu, serta sumbangan RM1.5 juta.

Namun, berlaku rusuhan apabila beberapa orang bertindak diluar kawalan hingga seorang anggota bomba cedera ketika mahu mengawal kebakaran.

 


Pengarang :