NASIONAL

Jadikan Parlimen institusi berwibawa dan dihormati

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Parlimen Malaysia bertekad memulihkan kembali imejnya sebagai institusi berwibawa dan dihormati masyarakat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, hal ini berikutan Parlimen di era pentadbiran lalu memberi persepsi negatif kepada masyarakat awam dengan dilabelkan sebagai ‘chop getah’ dan tempat berkelahi sesama wakil rakyat.

“Kami sentiasa memikirkan apa yang harus dilakukan untuk rakyat, untuk memartabatkan Parlimen supaya tidak lagi menjadi seperti institusi dahulu yang orang kata chop getah.

“Kita tak mahu ini berulang di mana Parlimen mesti menjadi institusi berwibawa, ada nilai, dihormati, bukan tempat berkelahi seperti anggapan dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Reformasi Parlimen Anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dengan kerjasama Parlimen Malaysia di Bangunan Sementara Parlimen di sini, hari ini.

Mohamad Arif berkata, Parlimen Malaysia berusaha mengubah tanggapan awam semua lapisan masyarakat seperti golongan pelajar dan lain-lain.

Katanya, Parlimen Malaysia turut menggalakkan orang awam terlibat dengan sistem jawatankuasa di Parlimen yang membuka ruang kepada Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) berinteraksi dengan Parlimen.

“Misalnya jika babitkan isu alam sekitar, kita boleh mendengar pakar luar seperti daripada universiti dan lain-lain,” katanya.


Pengarang :