PENDIDIKANSELANGOR

Jadikan UKM sebagai kampus usahawan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 DIS: Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu dilengkapkan dengan ilmu keusahawanan, sekali gus menjadikan universiti berkenaan sebagai kampus usahawan.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ia kerana mahasiswa tidak boleh bergantung harap kepada pekerjaan luar, sebaliknya perlu menjadi ‘job creator’ berbanding ‘job seeker’.

Katanya, disebabkan itu, UKM memberi kebebasan kepada mahasiswa menjalankan perniagaan bagi mempersiapkan diri dengan dunia keusahawanan.

“Saya turut mengalu-alukan semua usahawan ke UKM dan semoga dengan adanya peluang ini, ia dapat menghidupkan lagi suasana dunia usahawan di kampus ini,” katanya ketika Program 100 Usahawan@UKM di Dataran Canselori.

Noor Azlan berkata, Program 100 Usahawan@UKM adalah salah satu inisiatif membabitkan perkongsian pintar bersama 100 usahawan berjaya bagi memacu kegemilangan dan keunggulan UKM.

Katanya, melaluinya, mahasiswa dapat berkongsi pengalaman, pengetahuan serta kepakaran secara langsung dengan usahawan yang berjaya.

“Saya mengucapkan syabas kepada mahasiswa yang mengambil bahagian dalam pameran keusahawanan sempena program ini.

“Saya berharap anda dapat memupuk serta mengembangkan minat yang ada untuk menjadi usahawan berjaya pada masa hadapan,” katanya.


Pengarang :