SELANGOR

JAIS sahkan tempat sembelih ayam viral tiada sijil halal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pusat sembelihan ayam yang menjadi tular di media sosial tidak mempunyai sijil halal.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati pusat sembelihan terbabit juga dimiliki orang bukan Islam.

“Bekalan ayam disembelih dijual kepada orang bukan Islam, jadi saya nasihatkan supaya orang ramai tidak gelisah kerana ayam ini tidak dijual kepada orang Islam.

“Oleh itu janganlah membuat pelbagai spekulasi kerana kita turut mempunyai pusat penyembelihan ayam yang mempunyai sijil halal dan ia dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video berdurasi tiga minit 40 saat memaparkan seorang pekerja menyembelih beberapa ekor ayam tanpa mengikut hukum syarak sebelum dibiarkan mati dengan mencampakkannya ke dalam bekas besar berisi air.

Kejadian dipercayai berlaku di Seri Kembangan itu turut menunjukkan ayam yang telah disembelih diuruskan di atas lantai simen yang dipenuhi darah oleh beberapa pekerja lain.

Haris berkata, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya bertindak bijak sebelum meviralkan sesuatu isu.

Katanya, ia berikutan video terbabit mendatangkan rasa takut kepada masyarakat untuk membeli ayam.

“Sebenarnya terdapat banyak lagi bekalan ayam yang mempunyai sijil halal dan boleh dipilih di pasaran.

“Jadi berhati-hatilah sebelum meviralkan sesuatu isu dan sebaiknya semaklah dulu sebelum ia dipaparkan untuk tontonan umum,” katanya.


Pengarang :