OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 1 DIS: Kira-kira 100 wanita menyertai program kecergasan bertemakan ‘Wanita Ceria, Rumahtangga Bahagia’ anjuran Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), di Dewan Melawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, pagi ini.
Program julung kali diadakan persatuan itu menggabungkan beberapa teknik senaman seperti Aerobik, Aerodance dan Bhangra Aerobic selama hampir tiga jam bagi memberi kepuasan kepada peserta.
Yang Dipertuanya, Masdiana Muhamad berkata, aktiviti berbentuk kecergasan adalah bertujuan menyahut cabaran amalan hidup sihat dengan menggunakan teknik senaman betul dan kreatif.
Katanya, wanita perlu mengutamakan aspek penjagaan kesihatan sebaiknya kerana mereka adalah tonggak utama dalam sesebuah institusi rumahtangga.
“Hal ini kerana, jika wanita tidak memiliki kesihatan yang baik, maka ia boleh menjurus kepada pengabaian anak-anak.
“Kalau dilihat banyak program kesihatan di luar sana diadakan secara percuma atau berbayar tetapi kita mahu memfokuskan kepada wanita supaya dapat melakukan senaman dengan betul dan bukan sekadar bersenam sahaja,” katanya kepada SelangorKini.
Program berkenaan mengetengahkan beberapa jurulatih pakar turut berkongsi dan memberi tunjuk ajar berkaitan teknik senaman yang betul dan kreatif.
Masdiana berkata, beliau optimis untuk mengadakan program sama pada masa akan datang memandangkan penerimaan daripada peserta amat menggalakkan.
Katanya, PEKAWANIS juga dalam perancangan menjadikan aktiviti terbabit sebagai acara berkala setiap bulan, pada Sabtu minggu pertama.
“Kita akan mendapatkan maklum balas daripada ahli PEKAWANIS dan kalau mereka rasa ia bagus, maka kita akan meneruskannya.
“Tambahan pula, sudah menjadi hasrat kita untuk menerima sebarang cadangan bagi pelaksanaan program lain misalnya program ‘talk’ atau mungkin berkaitan cara pemakanan yang betul,” katanya.