PELANCONGANSELANGOR

Kampung Bukit Kapar hub pelancongan seni warisan dan budaya

OLEH NORHAYATI UMOR

KAPAR, 29 DIS: Kampung Bukit Kapar yang terkenal dengan seni warisan kebudayaan menerusi permainan gasing pangkah, muzik cempuling dan silat berpotensi dijadikan hub pelancongan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, hub pelancongan itu nanti dapat mengetengahkan seni warisan yang terdapat di kawasan itu kepada pelancong tempatan mahupun luar negara.

“Ketika ini, Sekinchan menjadi destinasi pelancong luar negara antaranya Jepun, Korea, Taiwan dan Korea.

“Justeru, oleh kerana Kampung Bukit Kapar ini terletak tidak jauh dengan daerah Sekinchan, sudah tentu ia boleh menjadi destinasi persinggahan pelancong luar itu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pertandingan Gasing Pangkah Tradisional Terbuka Selangor, di sini.

Dr Daroyah berkata, seni warisan berkenaan wajar dipupuk dan dimartabatkan supaya tidak ditelan zaman.

Katanya, menerusinya, ia bukan sahaja mengangkat Selangor lebih dikenali malah memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

“Saya bangga menjadi anak jati kampung ini kerana pelbagai khazanah yang terdapat di kampung ini.

“Melihat kepada kegigihan penggiat seni, Ketua Kampung dan penduduk di sini, maka usaha ini perlu ditingkatkan kepada peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, seni cempuling bukan dilihat lagi sebagai yang seni muzik ‘kampungan’ tetapi diiktiraf peminat luar negara kerana muzik sangat berkait rapat dengan adab, adat, istiadat dan syariat berkait budaya Melayu.

“Kesantunan yang masih terpelihara dan kuat ditonjolkan dalam seni cempuling, memberi makna besar kepada masyarakat antarabangsa yang berpeluang menyaksikan seni tradisi ini,” katanya.

 


Pengarang :