SELANGOR

Karnival 3W bantu rakyat jaga kesihatan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 DIS: Program Karnival 3W akan diadakan di seluruh Selangor, mulai tahun depan bagi membantu dan membimbing rakyat bagi pelbagai aspek termasuk penjagaan kesihatan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival itu akan dijalankan di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu, pada akhir bulan, dari Januari hingga Disember.

“Karnival 3W iaitu Women (Wanita), Wellness (Kesejahteraan) dan Welfare (Kebajikan) adalah program bantuan kepada rakyat negeri ini dari aspek kebajikan termasuk bimbingan kesedaran bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental.

“Program dirancang ini akan kita jalankan di seluruh 12 PBT di Selangor untuk semua golongan sasaran seperti wanita, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, sebagai permulaan pihaknya menjalankan program perintis iaitu ceramah kesihatan dalam program Kembali Ke Sekolah Dengan Minda Sihat di Pangsapuri Sri Indah, Seri Kembangan, Sabtu lalu iaitu salah satu kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang diwakilinya.

“Ceramah disampaikan penceramah jemputan memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung masalah kesihatan mental dan fizikal,” katanya memaklumkan seramai 110 pelajar menerima bantuan dalam program berkenaan.


Pengarang :