SELANGOR

KDEBWM cemerlang urus sisa pepejal

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) berjaya membuktikan komitmen dan kecemerlangan tinggi dalam melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal berteraskan ‘Smart Waste Solution’ sebagai solusi berkesan di negeri itu sepanjang tempoh dua tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, model perniagaan berteraskan penyelesaian pintar yang menekankan ‘Internet of Things’ (IoT) turut membolehkan syarikat itu menerima pengiktirafan dari firma Perunding dan Penyelidikan Antarabangsa.

“Saya sangat bangga dengan pencapaian KDEBWM dinobatkan sebagai ‘2018 Malaysia Smart Waste Solution Company Of The Year’ oleh Frost and Sullivan.

“Saya juga berpuas hati dengan kerjasama yang erat di antara KDEBWM dengan semua pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal di negeri ini dipantau dengan sistematik dan berkesan.

“Tentunya, keberkesanan perkhidmatan operasi KDEBWM akan diteruskan di kawasan Kuala Selangor ini dan dengan adanya aset KDEBWM iaitu lori kompaktor dari jenama Jepun yang dilengkapi dengan teknologi moden akan dapat mengesan dan memantau pergerakan lori di kawasan kutipan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, ketika ini KDEBWM memiliki sebanyak 395 unit lori kompaktor diguna pakai untuk operasi kutipan sampah domestik dan akan meningkat pada suku kedua tahun hadapan kepada 400 unit.

Katanya, sebanyak 479 unit lori armroll dimiliki KDEBWM dan akan meningkat kepada 500 unit bagi skop pembersihan awam.

“KDEBWM juga dijangkakan akan berdepan cabaran dalam pengurusan sisa pepejal di MDKS antaranya cabaran pertambahan jumlah sisa pepejal, ketika ini purata jumlah tan sampah dikutip adalah sebanyak 4,000 tan sehari.

“Pada tahun hadapan, dijangkakan jumlah ini akan meningkat kepada 7,000 tan sampah sehari bagi seluruh negeri.

“Namun, Kerajaan Negeri yakin KDEBWM akan memberikan perkhidmatan terbaik dan mampu menurunkan aduan sampah sekali gus mengekalkan kebersihan dan keharmonian ini,” katanya.


Pengarang :