SELANGOR

KDEBWM kendali operasi sisa pepejal MPSJ, atasi masalah

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 28 DIS : Perkhidmatan berkualiti KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) dalam sistem pengurusan sisa pepejal diyakini mampu menangani masalah berkaitan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada masa depan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pengambilalihan operasi dan jalinan kerjasama antara MPSJ dan KDEBWM, membolehkan perkhidmatan terbaik diberikan serta mampu mengurangkan aduan sampah sekali gus mengekalkan kebersihan di Subang Jaya.

“Saya berharap dengan adanya lori kompaktor dan armroll baharu ini akan dapat menyelesaikan isu seperti lori lama yang uzur, sering rosak dan tidak melalui kawasan sempit.

“Semoga inisiatif baharu disasarkan KDEBWM akan membawa kebaikan kepada industri pengurusan sisa pepejal amnya dan memberi manfaat serta pulangan modal kepada Selangor khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll Bagi Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam di MPSJ di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, kerjasama baik MPSJ dan KDEBWM serta sokongan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis akan dapat memastikan tanggungjawab merealisasikan Selangor sebagai “Smart City” terlaksana sebelum 2025.

Terdahulu, sebanyak 65 kompaktor dan 62 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) akan disediakan di 127 kawasan sekitar pentadbiran MPSJ mulai esok dan bakal beroperasi pada 1 Januari tahun depan.

Terdahulu, KDEBWM memiliki sebanyak 395 unit lori kompaktor diguna pakai untuk operasi kutipan sampah domestik dan akan meningkat pada suku kedua tahun depan kepada 400 unit.

Mankala, sebanyak 479 unit lori armroll dimiliki KDEBWM dan akan meningkat kepada 500 unit bagi skop pembersihan awam.


Pengarang :