SELANGOR

KDEBWM mula operasi kutipan sisa pepejal di MPSJ, 1 Jan 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 28 DIS : KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan mula mengambil alih perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), bermula 1 Januari tahun depan.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pihaknya menjanjikan pengurusan berkualiti di kawasan MPSJ melalui satu modus operandi baharu berkonsepkan “Smart Waste Solution”.

Katanya, sebanyak 65 kompaktor dan 62 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) akan disediakan di 127 kawasan sekitar pentadbiran MPSJ mulai esok hingga Isnin ini.

“Ia mengetengahkan penggunaan lori kompaktor baru jenama terkenal dari Jepun dilengkapi sistem canggih untuk digunakan semua sub kontraktor di Subang Jaya ini.

“Penggunaan lori baru berteknologi tinggi dijangka bakal menyelesaikan isu tipikal sering dihadapi kontraktor seperti keadaan lori uzur, sering rosak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll Bagi Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam di MPSJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua lori itu akan dipantau pergerakannya melalui penggunaan Vehicle Monitoring System (VMS) secara berpusat di Centralized Command Center (CCC) di Ibu Pejabat KDEBWM Shah Alam.

Katanya, penyerahan lori itu sejajar dengan komitmen KDEBWM yang membawa perubahan dan pembaharuan kepada perkhidmatan kutipan sampah domestik serta pembersihan awam lebih efektif juga efisien.

“Penggunaan lori kompaktor dan armroll yang seragam serta dilengkapi pelbagai peralatan berteknologi canggih akan dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal juga pembersihan awam di Selangor,” katanya.

KDEBWM adalah syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang diberikan tanggungjawab melakukan kerja pembersihan berkenaan secara berperingkat.

Difahamkan, KDEBWM memulakan ‘pilot project’ di Majlis Perbandaran Klang pada 2016 dengan jaya dan telah mengambil alih pengurusan di semua pihak berkuasa tempatan di Selangor dengan terbaharu, Majlis Daerah Kuala Selangor dan MPSJ, bermula 1 Januari tahun depan.

 


Pengarang :