SELANGOR

KDEBWM sedia tawar khidmat ke negeri lain

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 27 DIS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEWM) bersedia menawarkan khidmat menguruskan sisa pepejal di sekitar Lembah Klang atau negeri lain sekiranya diperlukan.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, walaupun syarikat itu dimiliki Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), ia tidak menjadi penghalang untuknya mengembangkan operasi.

“Sekiranya terdapat negeri lain berminat dengan cara kerja kita, kaedah atau teknologi diguna pakai, sudah tentu kita bersedia.

“KDEBWM sentiasa bersedia dan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya sekiranya diberi peluang menjalin kerjasama itu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), di sini, hari ini.

KDEWM adalah anak syarikat milik penuh MBI dilantik Kerajaan Negeri sebagai ‘Project Management Company’ untuk menguruskan sisa pepejal di Selangor.

Kini, syarikat itu semakin dikenali rakyat Selangor khasnya dan Malaysia amnya di atas kemampuan serta kejayaannya dalam menguruskan kutipan sampah domestik juga pembersihan awam sejak Julai 2016.

Bermula dengan ‘pilot project’ di Majlis Perbandaran Klang yang ternyata berjaya, kini operasinya dikembangkan di 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijangka akan mengambil alih semua 12 PBT selepas ini.


Pengarang :