BERITA UTAMASELANGOR

Keberangkatan Tengku Permaisuri Norashikin serikan Larian Menjunjung Kasih 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 DIS: Larian Menjunjung Kasih 2018 bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-73 mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 7,000 peserta bagi penganjuran edisi keempat.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin yang tiba sekitar jam 7.15 pagi berkenan mencemar duli untuk melakukan ‘flag-off’ larian bermula di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada jam 7.30 pagi bagi kategori Kategori Lelaki dan Wanita Terbuka 15KM.

Disusuli Kategori Pelajar Lelaki dan Wanita 10KM, Baginda kemudiannya menyertai larian Family Fun Run 5KM dengan ditemani Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Muhamad bersama-sama Kategori Pelajar Lelaki dan Wanita 5KM yang dilepaskan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada jam 7.45 pagi.

Para peserta turut mengambil kesempatan merakam gambar kenangan bersama Tengku Permaisuri Norashikin yang selesai menamatkan larian pada jam 8.30 pagi dan Masdiana kemudiannya mengalungkan pingat kepada Baginda.

Penganjuran program ini bertujuan memupuk masyarakat untuk mengamalkan cara hidup sihat serta semangat perpaduan dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian.

Selain itu, penganjuran program sebegini turut memberi peluang kepada penduduk tempatan terutamanya remaja dan belia di Negeri Selangor untuk menceburi sukan ini serterusnya secara tidak langsung menghidupkan rasa kasih dan peduli kepada Institusi Kesultanan Negeri Selangor

Pemangku Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Mohamad Nizam Marjugi yang ditemui berpuas hati dengan penganjuran kali ini yang terus mendapat sambutan dan menjunjung kasih atas keberangkatan Tengku Permaisuri Norashikin ke Larian Menjunjung Kasih 2018.

“Kita sudah menilai dan menjangka segala masalah dari tahun ke tahun bentuk masalah yang timbul dan cuba memperbaikinya dari semasa ke semasa.

“Paling penting keselamatan para peserta supaya mereka tidak mengalami kemalangan atau kecederaan selain memastikan semua kemudahan memenuhi kehenda mereka,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, penganjuran kali pertama Kategori Terbuka 15KM menyaksikan penyertaan menggalakkan dan menjangkakan pernyertaan lebih ramai tahun hadapan.


Pengarang :