PELANCONGANSELANGOR

Kedudukan Sepang cipta peluang tarik pelancongan-transit

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 23 DIS: Daerah Sepang mampu menarik lebih ramai pelancong khasnya bagi segmen pelancongan-transit ekoran kedudukan daerah itu sebagai pintu masuk utama ke negara ini.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, ianya boleh dicapai sekiranya Majlis Perbandaran Sepang (MPSP) dapat bekerjasama dengan agen pengembaraan dan pengusaha produk pelancongan bagi menarik penumpang yang menunggu dalam tempoh yang agak lama.

“Daerah Sepang amat bertuah kerana menjadi pintu masuk utama ke negara ini dengan dua lapangan terbang antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 serta menjadi hub transit bagi penumpang dan pengembara dari serata dunia.

“Sudah pastilah terdapat banyak peluang dan potensi dari segi pelancongan-transit yang boleh dimanfaatkan jika disesuaikan dengan tempoh transit singkat dan transit jangka masa yang lebih lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pra Pelancaran Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS 2020) di Gateway@KLIA2, KLIA2 Sepang di sini, semalam.

Abdul Rashid berkata, Kerajaan Negeri amat komited melaksanakan dan menyokong usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dalam menyemarakkan lagi industri pelancongan.

Katanya, sektor pelancongan hari ini tidak lagi hanya bergantung kepada konteks bercuti sambil membeli-belah sahaja tetapi semakin fokus kepada elemen lain seperti keunikan budaya, nilai sejarah dan alam semulajadi yang boleh dijadikan produk pelancongan dan keistimewaan pakej yang ditawarkan.

Justeru, Abdul Rashid yakin Sepang mampu diperkenalkan kepada pelancong dengan menekankan pelbagai program seperti festival kebudayaan, pesta pantai, Jelajah Tahun Melawat Sepang, Larian Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS 2020) dan program bersama pengusaha buah naga yang menjadi ikon kepada daerah ini.

Abdul Rashid turut melahirkan keyakinannya terhadap potensi Sungai Sepang Besar sebagai satu lagi produk pelancongan yang mampu menarik minat pencinta flora dan fauna di Sepang.

Antara produk pelancongan yang boleh ditawarkan di Sungai Sepang Besar adalah aktiviti seperti melihat burung helang, memancing, mencari lokan atau bermalam di rumah pelampong.


Pengarang :