SELANGOR

Kenal pasti sistem pengangkutan cekap

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 DIS: Bagi merealisasikan sasaran untuk mencapai nisbah 60 peratus pengangkutan awam berbanding 40 peratus kenderaan persendirian menjelang 2035, Kerajaan Negeri akan mengenalpasti sistem pengangkutan cekap bagi mengelakkan berlakunya ‘missing link’ dalam kesinambungan pengangkutan awam.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kajian pengangkutan di setiap kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu dilaksanakan untuk melihat jurang pengangkutan yang perlu diperbaiki mahupun ditambah baik pada masa hadapan.

“Selain daripada itu, nilai tambah dicadangkan untuk Bas Smart Selangor akan diperhalusi dengan pelaksanaan kajian terhadap perkhidmatan.

“Kita juga mengambil maklum penerimaan pengguna bagi merangka perancangan jangka panjang lebih baik dalam mengurangkan kos serta kebergantungan kepada Kerajaan Negeri,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri, di sini.

Terdahulu, Bas Smart Selangor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan kesalinghubungan sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor.

Inisiatif itu turut disokong oleh Kerajaan Pusat terkini dengan menjadikan Negeri Selangor sebagai contoh yang perlu diikuti negeri lain untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma.

Justeru, Sze Han berkata perkhidmatan bas itu masih diteruskan bagi memastikan connectivity di antara pengangkutan awam lain seperti MRT, LRT, BRT dan Komuter.

“Dengan kerjasama baik di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat ini dijangka akan memberi kesan positif terhadap jaringan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas serta connectivity laluan dengan pelaksanaan projek-projek pengangkutan lebih bermanfaat kepada Selangor,” katanya.


Pengarang :