BERITA UTAMASELANGOR

Keputusan nyahwarta hutan dibuat BN sejak 2005

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 DIS: Keputusan menyahwarta Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi tujuan pembangunan sudah dibuat Kerajaan Barisan Nasional, sejak 2005.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Pakatan Harapan, di bawah pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali komited mengekalkan HSK setelah mengambil alih pentadbiran negeri, sejak 2008.

“Semua pihak perlu tahu, Kerajaan Negeri akan menggantikan semula HSK mengikut keluasan yang dinyahwarta sebelum ini, malahan kita akan menggantikannya melebihi jumlah sebenar.

“Ingin ditekankan sekali lagi, Selangor komited mengekalkan HSK sebanyak 30 peratus seperti diumumkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas sesi pertanyaan lisan, pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pertikaian badan bukan kerajaan berhubung tindakan Kerajaan Negeri menyahwartakan sebahagian daripada Hutan Simpan Bukit Lagong, di Gombak untuk melaksanakan projek perumahan.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau tidak menghalang mana-mana pihak untuk mengemukakan bantahan, namun perlu menyatakannya secara rasional.

“Pada saya bantahan ini adalah proses biasa kerana ia melalui pendengaran awam, namun saya ingin sekali lagi tekankan proses penggantian semula tanah HSK oleh Kerajaan Negeri dilakukan segera, bukannya dalam tempoh lima hingga ke 10 tahun,” katanya.


Pengarang :