GLOBAL

Kerajaan baharu Mexico jual pesawat presiden

MEXICO CITY 3 DIS: Pesawat besar, mewah yang digunakan untuk membawa bekas presiden Mexico ke seluruh dunia bakal dijual, antara langkah pertama yang dilakukan presiden baharu dalam usaha untuk menghapuskan amalan yang dianggap pembaziran.

“Kami menjual semua pesawat dan helikopter yang digunakan pemimpin korup terdahulu,” kata Presiden Andres Manuel Lopez Obrador ketika perhimpunan di Xalapa, Veracruz yang mendapat sorakan daripada orang ramai.

Menteri Kewangan, Carlos Urzua mengadakan sidang media di sini, awal pagi semalam, dihadiri kumpulan kecil wartawan tempatan di hadapan pesawat Boeing 787 Dreamliner untuk mengumumkan penjualan pesawat itu dalam waktu terdekat.

Jurugambar dan kru kemudian dibawa untuk meninjau bahagian dalam pesawat yang luas, dindingnya dihiasi dengan lambang kerajaan, monitor skrin rata, termasuk bilik tidur presiden dan bilik mandi yang diperbuat daripada batu marmar.

Urzua berkata, pesawat presiden berharga AS$218 juta (RM911 juta) dibeli pada penghujung 2012 adalah salah sebuah 60 buah pesawat milik kerajaan yang bakal dijual, termasuk 70 buah helikopter.

Menurut kenyataan kementerian kewangan, pesawat itu bakal diterbangkan hari ini ke lapangan terbang Victorville di California Selatan atas cadangan Boeing menunggu pemilik baharu.

Sementara itu, ketika perhimpunan itu juga Lopez Obrador turut mengumumkan beberapa janji kempen, termasuk menamatkan bayaran pencen bekas presiden dan memotong bayaran pencen pegawai kanan kerajaan sebagai satu langkah penjimatan.

Presiden baharu Mexico itu juga mengarahkan agar kediaman rasmi presiden di Los Pinos yang berusia lebih lapan dekad itu, dijadikan pusat budaya kerana beliau memilih untuk tidak tinggal di kediaman itu.

Kemenangan besar Lopez Obrador pada pilihan raya Julai lalu memberi nafas baharu kepada rakyat Mexico yang diperintah dua parti yang sama selama 89 tahun.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :