GLOBAL

Kerajaan India pening kepala tangani ‘karenah’ monyet

NEW DELHI 11 DIS: Selain parti politik pembangkang, kerajaan turut berhadapan pencabar yang tidak kurang hebat iaitu monyet yang menjadi ancaman besar sekitar pejabatnya di ibu kota India itu.

Macaque rhesus bermuka merah mencetuskan kekecohan, mencuri makanan dan telefon bimbit, memecah masuk rumah dan menakutkan orang ramai di dan sekitar New Delhi.

Ia menguasai kawasan sekitar Parlimen, dan dari pejabat Perdana Menteri sehingga ke Kementerian Kewangan dan Pertahanan, menakutkan pekerja awam dan orang ramai.

“Ia selalu merampas makanan daripada orang ramai ketika mereka berjalan kaki, dan kadang-kadang mengoyak fail dan dokumen dengan memanjat melalui tingkat,” kata kakitangan Kementerian Dalam Negeri India, Ragini Sharma.

Menjelang permulaan sesi Parlimen musim sejuk hari ini, penasihat ahli Parlimen bulan lalu memperincikan cara mengelakkan serangan haiwan itu.

Jangan usik atau bertentang mata dengan monyet, kata penasihat, dan jangan sesekali berada di tengah-tengah antara ibu monyet dan anaknya.

Pertumbuhan pesat bandar raya menyebabkan monyet kehilangan habitat, paling banyak di dunia selepas manusia, mendorong ia menceroboh habitat manusia untuk mencari makanan.

Ramai penduduk di India yang majoritinya beragama Hindu memuja dan memberi makan haiwan yang dianggap ada kaitan dengan Hanuman.

“Tradisi sosio-agama memberi makan mewujudkan kitaran ganas.

“Ia sudah biasa diberi makan oleh manusia dan hilang rasa takut. Ia mula mencari makanan tambahan dan jika tidak diberi, ia menjadi agresif,” kata penyelidik ekologi, Asmita Sengupta.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :