Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri tunai janji bela nasib waris enam anggota bomba

OLEH AFIX REDZUAN

BUKIT JELUTONG, 8 DIS: Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan berjumlah RM120,000 yang diagihkan kepada waris enam anggota bomba dan penyelamat yang terkorban semasa operasi dan menyelamat di Taman Putra Perdana, 3 Oktober lalu.

Sumbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kepada waris sambil disaksikan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman.

Amirudin dalam ucapannya menyifatkan 2018 merupakan antara tahun sukar buat warga bomba khususnya di Selangor susulan kehilangan enam anggota dalam misi menyelamat di Puchong selain kecederaan dialami anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kasim yang parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

“Tahun ini adalah tahun mencabar bagi warga bomba khususnya di Negeri Selangor.

“Mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi yang amat berbahaya demi menyelamatkan nyawa dan harta benda.

“Mereka bersentiasa berkorban apa sahaja, bersedia menabur bakti tanpa mengira masa, kaum dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan (Disember 2018) Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik, Bukit Jelutong.

Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terbabit dalam kejadian menyayat hati itu adalah Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32 ; Mazlan Omar Baki, 25 dan Yahya Ali, 24 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.

Dua lagi anggota bomba yang meninggal dunia dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Katanya, statistik 2017 menunjukkan Bomba Selangor menerima 18,984 panggilan dengan 11 daripadanya dikenal pasti sebagai panggilan palsu.

Daripada jumlah itu, 6,391 merupakan panggilan kecemasa bagi kes kebakaran, 12,491 kes penyelamatan manakala 91 kes bagi khidmat khas.

Menurutnya, orang awam perlu memberikan kerjasama kepada bomba sekiranya berlaku kecemasan terutama ketika berada di jalan raya dengan memberikan laluan jika terdengar bunyi siren serta memelihara aset bomba seperti pili air supaya tidak menjadi mangsa vandalisme.

 


Pengarang :