SELANGOR

Kerjasama semua jaya pembangunan seni teater

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 DIS: Semua pihak perlu menjalin kerjasama bagi menjayakan pembangunan seni teater secara terancang seterusnya menyumbang kepada pembangunan Selangor.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, seni teater adalah salah satu tarikan berpotensi yang mampu menjana pendapatan untuk kemajuan negeri.

“Kerajaan Negeri merasakan tiba masanya kita melihat keperluan bagi pembangunan seni teater secara terancang dan efektif.

“Ia seperti dinyatakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2019 mengenai keperluan mewujudkan ‘masterplan’ seni dan kebudayaan agar potensi sedia ada dapat menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Hasrat ini semestinya tidak tercapai tanpa usahasama antara Kerajaan Negeri, agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan serta pengiat teater di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutup Minggu Teater Selangorku 2018 di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah di sini, semalam.

Beliau berkata, seni teater sebagai salah satu cabang kebudayaan juga memainkan peranan penting dalam pembentukan tamadun dan jati diri sesebuah bangsa serta memartabatkan warisan negara.

“Sambutan baik diterima untuk minggu teater ini adalah perkembangan positif dalam usaha Kerajaan Negeri untuk mempergiatkan aktiviti seni budaya terutamanya seni teater di Selangor,” katanya.

Minggu Teater Selangorku diadakan dari 3 Disember hingga semalam dianjurkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKN) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).


Pengarang :