SELANGOR

Kerjasama SSDU-GRAB realisasi Trafik Pintar Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 DIS: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menjalinkan kerjasama dengan syarikat e-hailing nombor satu negara, GRAB bagi mencari penyelesaian berhubung peningkatan kualiti pengangkutan, di negeri ini.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, tumpuan kerjasama berkenaan juga untuk merealisasikan objektif Inisiatif Trafik Pintar Smart Selangor dan Mobiliti Pintar Selangor.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, menaik taraf laluan pejalan kaki serta mengurangkan aliran trafik di pusat bandar utama.

“Jalinan kerjasama ini menandakan satu kejayaan penting bagi memastikan penyelesaian lebih berkesan untuk digunakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri.

“Beberapa inisiatif baru juga akan dibangunkan bersama yang akan menambah baik lagi pengalaman orang awam berkaitan perkhidmatan bas Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama GRAB yang turut dihadiri Ketua Pembangunan Perniagaan GRAB Malaysia, JJ Tan.

Sementara itu, Tan berkata, GRAB percaya setiap rakyat Malaysia harus mendapat manfaat daripada ekonomi digital, sekali gus menerima akses mudah pengangkutan selamat dan berpatutan.

“Matlamat GRAB adalah untuk mengintegrasikan perkhidmatan disediakan dengan pengangkutan awam, membolehkan pelanggan kami bergerak lancar, juga mengurangkan kesesakan semasa mendapatkan perjalanan lebih murah,” katanya.


Pengarang :