SELANGOR

Kes keganasan wanita di Malaysia membimbangkan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 DIS: Sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita, di Malaysia dilaporkan sejak 2010 sehingga kini berdasarkan statistik semasa Polis Diraja Malaysia.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perangkaan menunjukkan kes keganasan terhadap wanita seperti rogol, gangguna seksual, keganasan rumah tangga dan ragut berada pada paras membimbangkan.

Katanya, ia bukan hanya mengakibatkan kecederaan fizikal dan mental kepada mangsa, sebaliknya boleh mengakibatkan kematian.

“Apa-apa tindakan keganasan yang berdasarkan gender mengakibatkan kecederaan fizikal, seks atau psikologi atau mengakibatkan penderitaan kepada wanita.

“Tindakan keganasan lain juga termasuk pelanggaran hak kemanusiaan wanita terutama pembunuhan, perogolan terancang, perhambaan seks dan penghamilan tanpa kerelaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen #DengarSuaraKami, di Foyer SUK, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa merangkap Pengerusi Institut Wanita Berdaya Selangor, Dr Daroyah Alwi dan ADN Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Terdahulu, #DengarSuaraKami yang mula diperkenalkan sejak 1991 oleh ‘Women Global Leadership Institute’ adalah kempen menghapuskan keganasan terhadap wanita, dikenali sebagai sambutan 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender.

Ia berlangsung dari 25 November hingga 10 Disember dengan mengangkat tema #HearMeToo.

Dr Mariah berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik program seumpama itu bagi memberi kesedaran kepada wanita untuk kembali bangkit daripada penindasan seterusnya mempertahankan hak asasi seorang manusia.

Katanya, kaum wanita lebih terdedah kepada keganasan berbanding lelaki walaupun mereka turut menjadi mangsa kepada keganasan wanita tetapi nisbahnya terlalu kecil dan kesan tindakan terbabit adalah sedikit.

“Faktor gender memainkan peranan di mana lelaki disifatkan sebagai seorang yang gagah, tidak mudah terpengaruh dengan emosi, pantang dicabar, suka sesuatu yang ganas dan berkeinginan untuk selalu berada di tahap tinggi.

“Wanita pula disifatkan sebagai subordinasi kepada lelaki iaitu tidak suka kepada keganasan, lebih beremosi dan mudah mengalah.

“Gambaran ini sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan keganasan oleh lelaki terhadap wanita,” katanya.


Pengarang :