SELANGOR

Kes kematian ekoran denggi turun 47%

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Kes kematian ekoran wabak denggi di Selangor mencatatkan penurunan 47 peratus kepada 32 kes, setakat 17 November lalu berbanding 60 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Laporan Situasi Denggi di Selangor secara kumulatif bagi tempoh sama juga mencatatkan penurunan 12% dengan 37,149 kes, berbanding 42,393 kes, pada 2017.

“Kes demam denggi dipantau secara konsisten melalui dua Mesyuarat Tindakan Denggi Selangor bagi membincang dan merangka dasar serta melaksanakan program kawalan juga pencegahan yang dijalankan setiap dua minggu.

“Manakala Mesyuarat Tindakan Denggi Daerah yang diadakan setiap minggu akan membincangkan permasalahan di lokaiti wabak terutama hotspot,” katanya ketika sesi soalan lisan, pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, daerah Petaling mencatatkan kumulatif kes tertinggi sebanyak 12,814 kes dengan 11 kes kematian direkodkan.

“Manakala Klang mencatatkan 9,533 kes (empat kematian), Hulu Langat 6,423 kes (empat kematian), Gombak 4,535 (satu kematian), Sepang 1,099 (lima kematian), Kuala Langat 1,088 kes (satu kematian), Hulu Selangor 912 kes (satu kematian), Kuala Selangor 577 kes (dua kematian) dan Sabak Bernam (satu kematian),” katanya.


Pengarang :