SELANGORSUKANKINI

Khairuddin giat berlatih jaya misi tawan Kinabalu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 DIS: Demi menjayakan misi membawa belia Paya Jaras menawan puncak Kinabalu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman giat berlatih setiap hari bagi meningkatkan kecergasannya.

Pegawai Belia dan Beliawanis Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Norasyikin Abd Laptip berkata, latihan itu dibuat bagi mengekalkan kecergasan dan kekuatan fizikal sebelum misi mendaki Gunung Kinabalu bermula.

“Mohd Khairuddin memang rajin dan tak pernah ponteng latihan kecuali jika ada program perlu dihadiri.

“Setakat ini boleh nampak kecergasan beliau jauh lebih baik dan berat juga semakin menurun,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain menaiki tangga Batu Caves setiap malam, Exco Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu turut mendaki beberapa gunung sebagai pendedahan awal.

Antara gunung berjaya didaki termasuk Gunung Datuk, Gunung Angsi dan Gunung Kutu.

Norasyikin berkata, misi menawan Gunung Kinabalu dijangka akan dilangsungkan pada awal tahun hadapan disertai belia Paya Jaras.


Pengarang :