SELANGOR

Khairuddin sandang portfolio Pembangunan Generasi Muda & Sukan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 DIS: EXCO Kerajaan Negeri baharu, Mohd Khairuddin Othman menyandang portfolio Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan kewibawaan Ahli Dewan Negeri Paya Jaras sejak 2013 itu, termasuk pengalaman luasnya menjawat pelbagai jawatan.

“Antara pengalaman beliau ialah sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, pembantu EXCO Infrastruktur, Belia dan Adat Melayu, Ahli Lembaga Tabung Pendidikan Selangor serta Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor.

“(Saya yakin) ia akan dapat membantu pentadbiran Kerajaan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam melaksanakan agenda serta polisi yang sudah direncana demi kemaslahatan rakyat,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Amirudin turut memaklumkan sudah mempersembahkan nama calon EXCO baharu kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 4 Disember lalu.

Katanya, baginda memberi perkenan kepada Mohd Khairuddin untuk dilantik sebagai EXCO baharu bagi menggantikan Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang meninggal dunia, pada 2 Ogos lalu.


Pengarang :