SELANGOR

KIPK dedah pengasuh aspek penjagaan betul

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Kursus Intensif Perkembangan Kanak-Kanak (KIPK) memberi pendedahan kepada pengasuh terhadap pelbagai aspek penjagaan dan pendidikan kanak-kanak dengan kaedah betul.

EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, kursus seperti itu adalah penting kerana perkembangan kanak-kanak bermula pada usia peringkat rendah.

“Ia perlu diberi perhatian serius kerana perkembangan otak kanak-kanak pada kadar 70 hingga 80 peratus berlaku pada usia antara dua hingga tujuh tahun.

“Maka peranan Taman Asukan Kanak-Kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) amat penting kerana ia mampu mencorak keperibadian anak-anak hingga dewasa,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil KIPK di sini, semalam yang menyaksikan 40 peserta menamatkan kursus tiga hari mulai Jumaat lalu.

Katanya, KIPK dijayakan Kerajaan Negeri dikendalikan Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan turut menekankan aspek penjagaan kesihatan juga kebajikan terhadap kanak-kanak.

“KIPK memberi pendedahan kepada pengasuh kanak-kanak dari seluruh Selangor dan apabila dimulakan pada peringkat awal maka ia akan memudahkan proses perkembangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit RMSB, Arba’ain Abdul Rahman berkata, KIPK berjaya melahirkan lebih 900 peserta sejak diperkenalkan pada 2013.

“Dalam tempoh itu, 29 program dijalankan di seluruh Selangor dan pada tahun ini, kita melaksanakan lapan program dengan setiap program disertai 40 peserta.

“Kita mengadakan perbincangan dengan EXCO berkaitan bagi menjalankan 12 program KIPK pada tahun depan,” katanya.

KIPK dijalankan di bawah Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga.


Pengarang :