SELANGOR

KISS kekal tapi perlu mohon e-kasih

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 DIS: Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) akan diteruskan sehingga tahun hadapan, namun pemohon diingatkan supaya membuat permohonan melalui e-kasih.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, permohonan itu bagi membolehkan penerima terus kekal menerima bantuan terbabit.

“Jika anda tidak memohon di bawah e-kasih, nama mungkin akan digugurkan pada tempoh masa separuh tahun akan datang,” katanya ketika sesi pertanyaan mulut pada sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan dan menyambut baik cadangan lain yang bersesuaian untuk menyalurkan bantuan terbabit kepada pihak yang layak.

“Ia adalah mengikut keperluan dan kebertanggungjawaban pemohon untuk telus dalam memberikan maklumat diri kepada setiap permohonan program bantuan yang disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Sebelum ini, melalui Belanjawan Selangor 2019, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan Program KISS dengan peruntukan RM50 juta.

KISS adalah program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat yang mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat, di negara ini dan khasnya Selangor, dengan memberi manfaat kepada 40,000 ibu, di seluruh negeri.


Pengarang :