NASIONAL

KKM kenal pasti 17 produk kosmetik beracun di pasaran

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan 17 produk kosmetik yang kini berada di pasaran kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Produk berkenaan termasuk Nuriz Kosmetik-D’solve Plus; Nuriz Shoppe -Beau One Whitening Cream 3 In 1; Dnars Sunny Cream; Night Cream Dollys Pinky; Nuriz Shoppe – UV Pearl Cream; Nuriz-D’Solve dan NV Anti Blemish Toner 1.

Selain itu, produk lain adalah Dnars Honey Cream; Moleek Skincare Anti Pigmentation Cream Plus; Dnars Yellow Gold Collagen; GG Pinky Day Cream for Skin; Tati Therapy Cream 1; Tati Therapy Cream 2; Deeja Cosmetic Star Cream; Deeja Cosmetic Vogue Cream; Deeja Krim Nano (Night) dan Miracle White-Brightening Cream.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua premis yang didapati menjual produk kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Sementara syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Sehingga Oktober 2018, sebanyak 280 kes didakwa di mahkamah dengan jumlah denda RM790,000,” katanya dalam kenyataan.

Noor Hisham berkata, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) turut menjalankan penguat kuasaan ke atas premis yang disyaki melanggar undang-undang.

Katanya, bermula Januari hingga November 2018, sebanyak 142,777 produk kosmetik bernilai RM3.4 juta tidak bernotifikasi termasuk kosmetik yang mengandungi racun dirampas.

“Orang ramai dinasihat supaya lebih berhati-hati semasa membeli produk kosmetik di pasaran dan tidak mudah terpedaya dengan iklan serta testimonial yang disiarkan di media cetak dan media elektronik.

“Orang ramai termasuk pihak media digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk kosmetik yang meragukan,” katanya.


Pengarang :