PBTSELANGOR

Kontraktor rekod cemerlang punyai potensi diserap semula

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 29 DIS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan mengkaji semula kontraktor lama yang mempunyai rekod kerja cemerlang untuk diserap semula dalam operasi perkhidmatan pengurusan sisa pepejal Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pengurusan yang kini diambil alih KDEBWM itu akan turut mendengar nasihat dan cadangan daripada PBT untuk memilih atau memasukkan semula mana-mana kontraktor lama yang cemerlang.

“Bagi kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), kontraktor sedia ada akan tamat kontrak mereka pada hujung tahun ini dan kontraktor baharu akan dilantik menerusi konsep tender terbuka.

“Malah, kontraktor lama masih boleh menyertai sekiranya mereka layak dan mempunyai rekod baik dicadangkan oleh PBT mengikut mata merit yang diberi oleh jawatankuasa penilai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Lori Kompaktor dan Armroll Bagi Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam di MPSJ, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan perasmian oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Pada masa sama, Ramli berkata, lebih 10 kali ganda permohonan tender diterima di kawasan MPSJ berbanding jumlah skop kerja diperlukan.

“Bagi 65 kerja kutipan, kita ada 640 pembida manakala 62 kerja pembersihan pula sejumlah 1,061 bida,” katanya.

Katanya, pelantikan semula kontraktor bawah pengurusan KDEBWM adalah langkah terbaik dalam memastikan mutu perkhidmatan operasi pengurusan sisa pepejal di Selangor berada pada tahap konsisten.

Beliau berkata, sebelum ini kontrak yang diberi kepada kontraktor bersifat jangka pendek sekali gus menyukarkan kontraktor membuat pelaburan dan mendapat pinjaman bank.

Terdahulu, sebanyak 65 kompaktor dan 62 tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) akan disediakan di 127 kawasan sekitar pentadbiran MPSJ dan bakal beroperasi pada 1 Januari tahun depan.


Pengarang :