SELANGOR

Kopiesatu hidang 500 kopi percuma di DNS

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 DIS: Syarikat pengeluar kopi, Kopiesatu menghidangkan lebih 500 kopi secara percuma, pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Pengurus Besarnya, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, lebih istimewa kali ini apabila pihaknya membawa kembali jenama kopi Kanchong Darat dari Banting.

“Kopi Kanchong Darat ini sememangnya menggamit kenangan bagi segelintir golongan kerana ia sudah popular sejak 1974 lagi, di negeri ini.

“Kali ini Kopiesatu mahu Kopi Kanchong Darat diketengahkan dan dijadikan produk agro pelancongan terbaru di Selangor,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Katanya, Kopiesatu yang bernaung di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan sudah mempunyai kira-kira 14 cawangan, di seluruh negara.

Katanya, sepanjang 2019, Kopiesatu bercadang untuk menjalinkan usahasama bersama Kerajaan Negeri bagi merancakkan lagi ekonomi dalam kalangan belia Selangor.

“Melalui usahasama ini, kami menyasarkan usahawan muda untuk mengambil lesen mewujudkan cawangan baru Kopiesatu kerana kami tidak mahu anak muda sekadar bekerja dengan syarikat, sebaliknya menjadi usahawan menjana pendapatan sendiri.

“Pada masa sama, Kopiesatu turut merancang untuk membina sebuah muzium kopi melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri memandangkan di Selangor kita sudah ada muzium coklat,” katanya.


Pengarang :