GLOBAL

Kosovo undi tubuh pasukan perunding dengan Serbia

PRISTINA 16 DIS : Parlimen Kosovo semalam mengundi untuk menubuhkan pasukan rundingan berhubung pertelingkahan dengan Serbia, susulan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua jiran itu.

Kedua-dua negara di bawah Kesatuan Eropah (EU) itu mengadakan dialog yang disasarkan untuk menyelesaikan segala isu berbangkit pada 2013 namun tiada sebarang perkembangan positif dicatatkan.

Hubungan antara Belgrade dan Kosovo dilanda ketegangan sejak tahun 2008 apabila Pristina dengan sokongan negara barat mengisytiharkan kemerdekaan dari Serbia.

Presiden Kosovo, Hashim Thaci meraih perhatian pada Jun lalu apabila beliau mengumumkan akan mencari penyelesaian bersama Belgrade dengan menukar sempadan negaranya.

Pertelingkahan terbaru bagaimanapun tercetus Jumaat lalu apabila parlimen Kosovo mengundi untuk meluluskan pembentukan 5,000 anggota tentera, hanya seminggu selepas Perdana Menteri Serbia berkata langkah seumpama itu boleh membawa kepada campur tangan ketenteraan daripada Belgrade.

Perancangan Thaci itu menjadi perhatian sebahagian besar ahli politik Kosovo, negara Balkan dan beberapa diplomat barat yang melihat ia sebagai cubaan untuk menawan tiga kawasan perbandaran Serbia, kebanyakannya dihuni penduduk Albania.

Sebagai ganti, Serbia akan menguasai bahagian utara Kosovo, dihuni penduduk Serb yang enggan mengiktiraf kekuasaan kerajaan di Pristina.

Kosovo diiktiraf lebih 110 negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat tetapi tidak oleh Russia, China atau Serbia.

Washington sebelum ini melaporkan akan menerima sebarang perjanjian jika mendapat persetujuan rakyat Serbia atau Albania, tetapi pada masa sama menolak pertukaran sempadan kerana mendakwa ia menyokong penghapusan etnik iaitu antara faktor utama pertempuran di Balkan pada tahun 1990an.

“Hari ini kami memutuskan bahawa adalah mustahak untuk kita melindungi kedaulatan dan maruah dalam kerjasama dengan komuniti antarabangsa,” kata speaker Parlimen Kosovo, Kadri Veseli selepas resolusi berkenaan yang mendapat sokongan undang-undang selama 30 hari.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :