NASIONAL

KPKT cadang naikkan elaun kritikal bomba

JOHOR BAHRU, 14 DIS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan elaun kritikal anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dinaikkan supaya lebih setimpal dengan cabaran dan risiko anggota dalam menjalankan tugas.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan kaedah pemberian elaun kritikal anggota JBPM.

“Sudah tiba masanya kita pertimbang naikkan (elaun kritikal) kerana kerja bomba ini berbahaya malah kerja-kerja bukan dalam skop tugas pun mereka buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Kuarters Bomba Johor, di Kempas, hari ini.

Pada Julai lalu, Zuraida berkata, KPKT memperuntukkan RM35 juta bagi pemberian elaun kritikal kepada anggota JBPM, yang memberi manfaat kepada kira-kira 13,000 anggota JBPM di seluruh negara.

Tambah Zuraida, setiap anggota bomba dijangka menerima RM250 seorang bagi elaun kritikal pada setiap bulan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Zuraida memuji pasukan beruniform itu yang bertarung nyawa dalam menjalankan tugas demi keselamatan masyarakat.

Pada Oktober lalu, enam anggota bomba dan penyelamat meninggal dunia sewaktu operasi menyelamatkan mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana.

Manakala, pada November lepas pula, seorang anggota Bomba dan Penyelamat cedera parah dipercayai diserang sekumpulan perusuh dalam satu rusuhan di sekitar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

Sementara itu, Zuraida berkata, bomba masih kekurangan sekitar 3,000 anggota di seluruh negara.

Justeru, KPKT mempelawa masyarakat, terutamanya golongan muda untuk menyertai pasukan itu sekali gus dapat menabur bakti kepada masyarakat.

“Kita minta untuk rakyat terutamanya orang muda, sertai bomba. Ini kerana ia satu kerjaya yang amat murni dan dapat membina disiplin diri,” katanya.

Zuraida berkata, terdapat lebih 100 kekosongan untuk diisi dalam JBPM Johor.

Selain itu, JBPM kini mempunyai sekitar 14,000 anggota termasuk sukarelawan.

Mengulas mengenai persediaan menghadapi banjir, beliau berkata cuti anggota JBPM telah dibekukan.

– BERNAMA


Pengarang :