NASIONAL

KPKT: Semua bangunan kerajaan perlu miliki sijil FC

JOHOR BAHRU, 14 DIS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewajibkan semua bangunan kerajaan mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) mulai tahun hadapan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan itu dibuat berikutan beberapa bangunan kerajaan yang didapati tidak mempunyai sijil berkenaan.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) sudah pergi buat pemeriksaan bangunan kerajaan terlibat.

“Mereka juga diberi tempoh masa untuk membuat persediaan bagi mendapatkan Sijil FC,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Syarikat See Hau Global di Ulu Tiram, di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 27 premis di Pulau Pinang termasuk sebuah hospital di Georgetown dan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) didapati tidak mempunyai Sijil FC.

Zuraida berkata, kertas kerja berhubung penguatkuasaan itu juga sudah disiapkan dan akan dibentangkan ke Kabinet secepat mungkin.

Mengenai cadangan pembinaan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di atas tanah wakaf milik Kerajaan Negeri, beliau berkata cadangan itu masih di peringkat kajian.

“Kita masih mengkaji sistem dan mekanisme tentang tanah wakaf dan sebagainya.

“Selepas itu, kita akan bentang ke peringkat negeri kerana tanah wakaf di bawah Kerajaan Negeri dan Sultan, lepas kertas kerja siap kita akan bentangkan,” katanya.


Pengarang :