NASIONAL

KPM: Kontrak Naib Canselor UKM tamat tiada kaitan kontroversi wacana

PUTRAJAYA, 1 Dis: Tempoh tamat kontrak Prof Tan Sri Dr Noor Azlan sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tiada kaitan dengan kontroversi program wacana membabitkan aktivis sosial, Hishammuddin Rais seperti dilaporkan media.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pelantikan Noor Azlan seperti ditetapkan dalam kontrak ialah sehingga 31 Dis 2018.

“Bahkan langkah mengenal pasti calon pengganti telah dibuat sejak beberapa bulan lalu.

“Oleh itu, KPM memohon kerjasama pihak media agar mengelak daripada menyiarkan laporan yang tidak tepat bagi mengelak sebarang kekeliruan,” katanya.

KPM berkata, Menterinya, Dr Maszlee Malik turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Noor Azlan atas sumbangannya yang telah menerajui UKM sejak 2014.

Baru-baru ini, media melaporkan perkhidmatan Noor Azlan sebagai Naib Canselor UKM akan berakhir pada hujung tahun ini selepas kontroversi tindakan beliau menghalang wacana membabitkan aktivis sosial terbabit.

Sebelum ini, Maszlee dilaporkan menegur tindakan Noor Azlan supaya tidak menutup ruang intelektual di universiti.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :