SELANGOR

KSSB galak aktiviti sukan kakitangan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 DIS: Liga Sukan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) 2018 dijayakan kakitangan syarikat itu sejak awal dan diakhiri dengan acara pertandingan boling, di ARL Power Bowl, Putrajaya, 16 Disember lalu.

Menariknya, pertandingan dijalankan tahun ini turut disertai syarikat sekutu KSSB, Selpump & Machineries Sdn Bhd (SMSB) sebagai pasukan jemputan buat kali pertama.

Pengerusi Kelab Sukan KSSB, Dazrin Mohd Darbi berkata, penyertaan SMSB adalah salah satu pembaharuan dilakukan bagi menambah kemeriahan pertandingan kali ini.

“Ia sama seperti mana tahun lalu apabila kita menjemput Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) untuk turut serta.

“Liga dimulakan sejak 2016 dan dijalankan sepanjang tahun dalam enam acara sukan iaitu paintball, bola tampar, badminton, ping pong, futsal dan boling dengan disertai petugas KSSB dari ibu pejabat, cawangan Selatan serta Utara bersaing untuk penentuan juara keseluruhan,” katanya kepada SelangorKini.

Dazrin berkata, memasuki tahun ketiga, penyertaan dalam Liga Sukan KSSB semakin menggalakkan dan ia menjadi medan bagi kakitangannya bergiat aktif dalam lapangan sukan.

“Ia bertujuan bagi memupuk semangat kesukanan dan mengekalkan kesihatan selain mengeratkan hubungan silaturrahim antara kita.

“Pada masa akan datang, mungkin kita akan menjemput anak syarikat lain di bawah MBI dan agensi lain termasuk media untuk turut bersama,” katanya.

Dazrin berkata, kelab itu sentiasa merangka perubahan bagi menambah baik penganjuran Liga Sukan KSSB dan mungkin menambah acara sukan dipertandingkan seperti memancing dan e-sukan pada masa akan datang.


Pengarang :