PBTSELANGOR

Kuatkuasa polisi ‘tiada warganegara asing’ berniaga di tapak pasar malam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 8 DIS: Polisi ‘tiada warganegara asing’ dibenarkan berniaga di tapak pasar malam termasuk premis perniagaan kecil, di seluruh Selangor akan mula dikuatkuasakan, pada tahun hadapan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, langkah agresif itu bertujuan memelihara hak, sekali gus menjamin kepentingan peniaga tempatan.

Katanya, hasil daripada kajian dan penelitian di lapangan dilihat agak membimbangkan apabila kebanyakan tapak perniagaan kecil sudah diambil serta dimonopoli oleh peniaga asing.

“Justeru, saya meletakkan satu agenda untuk melihat langkah terbaik dalam tempoh tiga tahun ini supaya warga asing tidak lagi boleh berniaga.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga diminta untuk membincangkan perkara ini dalam mesyuarat atau meletakkan pegawai di setiap pos penguat kuasa, di setiap pasar malam.

“Ini kerana hak berniaga rakyat Malaysia itu perlu dipulangkan dan kita jangan sesekali membuka ruang kepada warga asing,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Jelajah Usahawan Selangor 2018, peringkat Daerah Hulu Langat, di Perkarangan Letak Kereta McDonalds Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato’ Engku Abdul Jalil Abdul Rani; Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Rosli Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Mohd Sayuthi Bakar.

Dalam perkembangan berkaitan, Rodziah berkata, sudah tiba masanya PBT menjalinkan kerjasama erat antara satu sama lain bagi memastikan dasar yang dilaksana Kerajaan Negeri dapat dicapai secara inklusif.

“PBT perlu memulakan langkah segera supaya warga asing tidak berniaga dengan mengeluarkan arahan khas PBT untuk menetapkan pos penguat kuasa supaya mereka takut.

“Dengan adanya medium komunikasi seperti ini, saya mahu pihak pengusaha yang telah mendapat lesen awal supaya dengar apa yang kita utarakan, jika tidak tindakan akan dikenakan kepada mereka,” katanya.


Pengarang :