SELANGOR

Kurang selenggara longkang punca banjir kilat di Sungai Serai

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 28 DIS: Kurang penyelenggaran dan pembersihan longkang di kawasan perumahan dikenal pasti menjadi faktor utama ‘backflow’ Sungai Langat sehingga menyebabkan banjir kilat di Kampung Sungai Serai dan Batu 10, di sini.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, masalah itu turut dipercayai berpunca daripada longkang terkambus tanah membabitkan kerja kontraktor di Projek Langat 2.

“Selepas mengadakan lawatan bersama Ketua Kampung Dusun Nanding, Tok Yusof untuk melihat sendiri punca kepada masalah ini, kontraktor mula membersihkan kembali longkang terkambus tanah.

“Malah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut memberi jaminan untuk membersihkan segera longkang berkaitan dan Ahli Majlis diminta memastikan MPKj membuat pemantauan terhadap kontraktor sepatutnya membersihkannya,” katanya kepada SelangorKini.

Ogos lalu, satu mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah diadakan bersama Jabatan Pengairan & Saliran (JPS) dan Timbalan Menteri Air, Tanah & Sumber Asli, Tengku Zul Puri bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang membabitkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 2, di Hulu Langat.

Beberapa komponen digariskan menerusi projek RTB itu termasuk menaik taraf sungai bagi menampung kapasiti aliran air sungai, mengukuh dan membaiki struktur tebing sungai selain mewujudkan serta menaik taraf kolam takungan dengan kemudahan rekreasi juga membina log boom di kawasan lembangan sungai tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, Edry Faizal berkata, pembangunan projek itu membabitkan anggaran kos keseluruhan sebanyak kira-kira RM145 juta dan ia bukan satu angka yang kecil.

Katanya, JPS diminta terus memainkan peranan aktif dalam memberikan ulasan kepada pembangunan baharu yang mahu diluluskan kerajaan tempatan.

“Pembangunan baharu harus mengambil kira saliran yang baik, tidak terhad hanya dalam kawasan projek sahaja tetapi radius sekitar kawasan pembangunan itu.

“Jumlah peningkatan air di saliran atau sungai ekoran sesebuah pembangunan baru juga perlu menjadi pertimbangan,” katanya.


Pengarang :