SELANGOR

Lantik ahli jawatankuasa KEADILAN Selangor dalam tempoh terdekat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 DIS: Satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan dan menetapkan ahli jawatankuasa di peringkat Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor, Amirudin Shari berkata, mesyuarat itu akan dijalankan selepas beliau kembali dari mengerjakan umrah di tanah suci.

Beliau turut menggesa supaya seluruh anggota KEADILAN merapatkan saf dan menyingkirkan segala kecurigaan dan buruk sangka sesama ahli.

“Saya dipilih sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor untuk sesi 2018-2021.

“Oleh itu, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada pimpinan pusat terutamanya Presiden KEADILAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana memberi kepercayaan mengemudi KEADILAN Negeri Selangor.

“Ucapan terima kasih kepada semua Ketua-Ketua Cabang di Negeri Selangor yang turut memberi kepercayaan kepada saya,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar berkata, beliau menerima jawatan berkenaan dengan tekad untuk bersama-sama memastikan KEADILAN kuat, berkebolehan menerajui Agenda Reformasi.

Katanya, ia sekali gus, berkemampuan melaksanakan segala program yang bermanfaat khususnya buat rakyat Negeri Selangor.


Pengarang :