GLOBALSELANGOR

Lawatan positif mampu lonjak pelancongan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

LOMBOK, INDONESIA, 18 DIS: Kerajaan Negeri Selangor percaya kunjungan ke Nusa Tenggara Barat (NTB) mampu memberikan impak positif khususnya dalam bidang pelancongan.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Selangor boleh mempelajari pelbagai inisiatif yang digunakan NTB dalam membangunkan industri pelancongan ke arah lebih baik.

“Kita bersyukur kerana berjaya mengadakan sesi perbincangan dengan pengurus pembangunan bandar The Mandalika, Indonesia Tourism Development Corporation (ITDC).

“Banyak pembangunan hotel, homestay dan peluang komersil. Kita juga berbincang bagaimana hala tuju persahabatan dua hala Selangor-NTB dan mengadakan koloborasi produk pelancongan untuk dikembangkan,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, pembangunan 4,000 hektar tanah peranginan dengan panjang pantai 60KM mampu memberikan keyakinan kerana  ITDC merupakan syarikat bertanggungjawab membangunkan Nusa 2, Bali, Indonesia.

“Selangor negeri termaju dengan sumbangan keluar dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 23 peratus kepada negara.

“Sudah tentu kita mempunyai syarikat pembangunan bertaraf antarabangsa yang berupaya melabur di sini.

“Kita juga akan bersama-sama membantu syarikat di Mandalika untuk promosi dan pelaburan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Deligasi Negeri Selangor turut diraikan dalam satu majlis makan malam Hotel Villa Ombak, Gili Trawangan, salah sebuah pulau yang menjadi tumpuan pelancong setiap kali ke Lombok.

Para deligasi turut berpeluang beramah mesra bersama Kabupaten Lombok Utara, Dr Najmul Akhyar.


Pengarang :