NASIONAL

LKAN 2017 Siri 2 kemuka 298 syor penambahbaikan

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2017 Siri 2 mengemukakan sejumlah 298 syor penambahbaikan kementerian, jabatan dan agensi, dan badan-badan berkanun.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, laporan itu merangkumi 83 syor terhadap aktiviti kementerian atau jabatan dan badan-badan berkanun Persekutuan, 42 syor terhadap pengurusan syarikat kerajaan dan agensi Kerajaan Persekutuan serta 173 syor bagi pengurusan aktiviti kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat Kerajaan Negeri.

Beliau berkata sebanyak 16 pengauditan prestasi dan lapan pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Manakala di peringkat negeri, 25 pengauditan prestasi dan 13 pengauditan pengurusan syarikat Kerajaan Negeri telah dijalankan. Pengauditan merangkumi pelbagai bidang antaranya pengurusan program/aktiviti, pembinaan, perolehan, sistem/ICT, penyenggaraan dan pengurusan hasil,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Madinah berkata laporan itu juga meliputi pengesahan penyata kewangan badan berkanun persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi lain bagi 2017.

Jabatan Audit Negara telah menjalankan pengauditan terhadap 148 penyata kewangan bagi tahun kewangan 2017 untuk Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah serta agensi lain, katanya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 110 penyata kewangan telah diberi Pendapat Tanpa Teguran, Pendapat Tanpa Teguran dengan Emphasis of Matter (17), Pendapat Berteguran (enam), Pendapat Bertentangan (satu) dan Pendapat Penafian (satu).

Selain itu, 13 penyata kewangan agensi masih belum dimuktamadkan, yang mana sembilan daripadanya adalah kerana Pengerusi Lembaga Pengarah belum dilantik dan mesyuarat Lembaga Pengarah tidak dapat diadakan bagi memperakui penyata kewangan yang telah diaudit, manakala faktor kelewatan bagi empat penyata lain yang belum dimuktamadkan adalah kerana masalah sistem dan isu pengurusan.

Madinah berkata laporan itu yang turut merangkumi pengurusan kewangan jabatan dan badan berkanun Persekutuan menyatakan prestasi pengurusan kewangan di 19 jabatan Persekutuan menunjukkan dua jabatan mencapai tahap cemerlang, tahap baik (10), memuaskan (lima) dan kurang memuaskan (dua).

Prestasi pengurusan kewangan bagi 14 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri yang diaudit untuk tahun kewangan 2017 menunjukkan tiga JKDM mencapai tahap cemerlang, tahap baik (tujuh) dan memuaskan (empat), manakala prestasi pengurusan kewangan bagi cawangan Universiti Teknologi Mara di 13 negeri menunjukkan tiga kampus mencapai tahap cemerlang, tahap baik (tujuh), memuaskan (dua) dan kurang memuaskan (satu).

 

Berkaitan pengesahan penyata kewangan Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan negeri pula, Madinah berkata setakat 21 Nov 2018, terdapat keseluruhan 325 penyata kewangan yang perlu diaudit dan telah disahkan iaitu Kerajaan-kerajaan Negeri (13), badan berkanun negeri (151), pihak berkuasa tempatan (148) dan Majlis Agama Islam negeri (13).

Pensijilan setakat 21 Nov 2018 pula merangkumi kerajaan-kerajaan negeri (13), badan berkanun negeri (140), pihak berkuasa tempatan (138) dan Majlis Agama Islam negeri (12) menjadikan jumlah keseluruhan 303.

“Berdasarkan pengauditan terhadap 303 penyata kewangan Kerajaan Negeri dan agensi Kerajaan Negeri 2017, sebanyak 240 penyata kewangan diberikan Pendapat Tanpa Teguran, Pendapat Tanpa Teguran dengan Emphasis of Matter (35) dan Pendapat Berteguran (28).

“Sebanyak 16 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan kerana kelewatan agensi mengemukakan penyata kewangan dan dokumen sokongan lengkap, manakala baki enam penyata kewangan masih belum dikemukakan oleh agensi kepada pihak audit bagi tujuan pengauditan,” katanya.

Madinah berkata pengauditan prestasi dijalankan mengikut standard pengauditan antarabangsa iaitu The International Standard of Supreme Audit Institutions (ISSAI) 3000, 3100 dan 3200.

Mulai LKAN Tahun 2017 Siri 2, beliau berkata Jabatan Audit Negara telah menambah baik pendekatan pengauditan prestasi dengan memberi penekanan terhadap penilaian output dan outcome, serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan tahap kepuasan golongan sasaran terhadap program atau projek yang dilaksanakan kerajaan.

Laporan itu boleh dilayari dalam laman web Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my mulai hari ini.

SUMBER: BERNAMA​​​​​​

 


Pengarang :